Banyak yang perlu disediakan dan dilakukan sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah. Para jemaah umrah di ingatkan bahawa segala dokumen dokumen penting perlu di bawa bagi memudahkan urusan proses menunaikan ibadah umrah. Antara perkara yang perlu dititikberatkan ialah:
- HADIRI KURSUS UMRAH
Perkara paling utama ialah menghadiri kursus yang telah disediakan seawal 3 minggu sebelum tarikh penerbangan. Malangnya ramai yang skip tentang bab menghadiri kursus umrah dan hanya baca buku sahaja. Untuk menambah pemahaman, adalah lebih baik hadiri kursus umrah yang dianjurkan syarikat yang menguruskan umrah anda. Biasanya kursus umrah hanya mengambil masa separuh hari sahaja.
- PASTIKAN PASSPORT ANTARABANGSA ANDA SAH TEMPOH LAKU
Untuk memudahkan proses permohonan Visa Umrah, pastikan passport antarabangsa anda sah tempoh laku tidak kurang dari 6 bulan dari tarikh penerbangan beserta 6 muka surat kosong. Sediakan juga 4 keping gambar berwarna berukuran 6cm x 4cm yang berlatar belakang warna putih. Untuk wanita, anda wajib memakai tudung kepala (berwarna gelap) dan lelaki tidak digalakkan menutup kepala.
Persiapan dari segi mental dan rohani juga perlu dititikberatkan supaya pemergian ke tanah suci benar-benar dapat menyucikan jiwa dan menguatkan akidah. Dalam usaha meraih ibadah yang mabrur maka para jemaah diharapkan dapat melakukan pematangan sikap, ikhlas, sabar, saling membantu dan amalan beragama. Hendaklah difahami betul-betul segala perkara yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji dan umrah mahupun persiapan rohani dan jasmani.
- MEMPERBETUL TUJUAN SEMATA-MATA KERANA ALLAH S.W.T.
Sesuatu pekerjaan itu hanya menjadi ibadah dan mendapat ganjaran pahala dari Allah S.W.T. apabila:
- diniatkan semata-mata untuk mematuhi perintah Allah S.W.T.
- caranya menepati syariat yang ditetapkan
- tidak berlaku sebarang penyelewengan
- ibadah wajib seperti sembahyang, berpuasa, berzakat dan lain-lain tidak ditinggalkan.
Oleh itu, elakkan diri dari mengerjakan haji dan umrah kerana sebab-sebab sosial, ekonomi, politik atau tujuan-tujuan lain.
- MENGGUNAKAN SUMBER WANG YANG HALAL
Pastikan wang ringgit yang digunakan untuk menunaikan umrah (tambang menambang, makan minum, penginapan dan lain-lain) malah yang digunakan untuk kehidupan seharian adalah dari sumber yang halal lagi bersih dari sebarang penyelewengan atau penindasan. Mata pencarian yang haram, selain dari berdosa, boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan.
- MEMBERSIHKAN DIRI DARI DOSA
Sebelum berangkat ke Tanah suci bakal jemaah hendaklah bertaubat dengan:
- meninggalkan serta merta perbuatan yang telah menimbulkan dosa;
- berazam dengan sepenuh hati tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi;
- merasa kesal yang amat sangat di atas perbuatan dosa
- jika dosa itu ada kaitan dengan manusia, perlu mendapatkan kemaafan dan pernyataan halal bagi kesalahan yang dilakukan dan hak yang diambil dari manusia tersebut.
- MEMPERBAIKI AKHLAK DAN MENGHINDARI SIFAT-SIFAT MAZMUMAH (TERCELA)
Tanah Suci Makkah adalah tempat orang memperlihatkan peribadinya yang sebenar. Orang yang hendak menjadi tetamu Allah S.W.T. hendaklah mempunyai adab yang baik sama ada dari segi perbuatan, percakapan malah niat di hati. Sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, sombong, takabbur, panas baran, suka mendedahkan aurat, suka bermegah-megah dan lain-lain hendaklah dijauhi.
- MEMPERBANYAKKAN AMALAN SEDEKAH
Bakal jemaah digalakkan memperbanyakkan sedekah sewaktu di Tanah Air dan juga di Tanah Suci nanti. Ia membahagiakan pihak yang menerima dan turut membahagiakan pihak yang memberi. Sewaktu berada di Tanah Suci pula, para jemaah hendaklah menggunakan sebaik-baiknya kesempatan untuk memberi khidmat kepada mereka yang memerlukan.